Firman Allah SWT, bermaksud “Jika kamu
menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan
kedudukanmu” (Surah Muhammad, ayat 7)
Jodoh adalah perkara yang sudah ditetapkan oleh Allah yang maha Esa.
Tetapi bagaimana kita mengetahui dia memang ditakdirkan untuk kita?
Allah SWT mengurniakan manusia telinga untuk mendengar, mata untuk
melihat dan akal untuk berfikir. Jadi gunakan sebaik-baiknya bagi
mengungkapkan rahsia cinta yang ditakdirkan.
Dua manusia yang rasa mereka dapat hidup
bersama dan memang dijodohkan pasti memiliki ikatan emosi, spiritual dan
fizikal antara keduanya. Apabila bersama, masing-masing dapat merasai
kemanisan cinta dan saling memerlukan antara satu sama lain. Lalu gerak
hati mengatakan, dialah insan yang ditakdirkan untuk bersama. Benarkah
ia seperti yang diperkatakan?
Berikut adalah 10 petanda yang menunjukkan dia adalah jodoh kita :
1. Bersahaja
Kekasih kita itu bersikap bersahaja dan
tidak berlakon. Cuba perhatikan cara dia berpakaian, cara percakapan,
cara ketawa serta cara makan dan minum. Adakah ia spontan dan tidak
dikawal ataupun kelihatan pelik. Kalau ia nampak kurang selesa dengan
gayanya, sah dia sedang berlakon. Kadang-kadang, kita dapat mengesan
yang dia sedang berlakon. Tetapi, apabila dia tampil bersahaja dan tidak
dibuat-buat, maka dia adalah calon hidup kita yang sesuai. Jika tidak,
dia mungkin bukan jodoh kita.
2. Senang Bersama
Walaupun kita selalu bersamanya, tidak
ada sedikit pun perasaan bosan, jemu ataupun tertekan pada diri kita.
Semakin hari semakin sayang kepadanya. Kita sentiasa tenang, gembira dan
dia menjadi pengubat kedukaan kita. Dia juga merasainya. Rasa senang
sekali apabila bersama. Apabila berjauhan, terasa sedikit tekanan dan
rasa ingin berjumpa dengannya. Tidak kira siang ataupun malam,
ketiadaannya terasa sedikit kehilangan.
3. Terima Kita Seadanya
Apapun kisah silam yang pernah kita
lakukan, dia tidak ambil peduli. Mungkin dia tahu perpisahan dengan
bekas kekasihnya sebelum ini kita yang mulakan. Dia juga tidak mengambil
kisah siapa kita sebelum ini. Yang penting, siapa kita sekarang.
Biarpun dia tahu yang kita pernah mempunyai kekasih sebelumnya, dia
tidak ambil hati langsung. Yang dia tahu, kita adalah miliknya kini. Dia
juga sedia berkongsi kisah silamnya. Tidak perlu menyimpan rahsia
apabila dia sudah bersedia menjadi pasangan hidup kita.
4. Sentiasa Jujur
Dia tidak kisah apa yang kita lakukan
asalkan tidak menyalahi hukum hakam agama. Sikap jujur yang dipamerkan
menarik hati kita. Kejujuran bukan perkara yang boleh dilakonkan. Kita
dapat mengesyaki sesuatu apabila dia menipu kita. Selagi kejujuran
bertakhta di hatinya, kebahagiaan menjadi milik kita. Apabila berjauhan,
kejujuran menjadi faktor paling penting bagi suatu hubungan. Apabila
dia tidak jujur, sukar baginya mengelak daripada berlaku curang kepada
kita. Apabila dia jujur, semakin hangat lagi hubungan cinta kita.
Kejujuran yang disulami dengan kesetiaan membuahkan percintaan yang
sejati. Jadi, dialah sebaik-baik pilihan.
5. Percaya Mempercayai
Setiap orang mempunyai rahsia tersendiri.
Adakalanya rahsia ini perlu dikongsi supaya dapat mengurangkan beban
yang ditanggung. Apabila kita mempunyai rahsia dan ingin memberitahu
kekasih, adakah rahsia kita selamat di tangannya? Bagi mereka yang
berjodoh, sifat saling percaya mempercayai antara satu sama lain timbul
dari dalam hati nurani mereka. Mereka rasa selamat apabila memberitahu
rahsia-rahsia kepada kekasihnya berbanding rakan-rakan yang lain. Satu
lagi, kita tidak berahsia apa pun kepadanya dan kita pasti rahsia kita
selamat. Bukti cinta sejati adalah melalui kepercayaan dan kejujuran.
Bahagialah individu yang memperoleh kedua-duanya.
6. Senang Bekerjasama
Bagi kita yang inginkan hubungan cinta
berjaya dan kekal dalam jangka masa yang panjang, kita dan dia perlu
saling bekerjasama melalui hidup ini. Kita dan kekasih perlu memberi
kerjasama melakukan suatu perkara sama ada perkara remeh ataupun sukar.
Segala kerja yang dilakukan perlulah ikhlas bagi membantu pasangan dan
meringankan tugas masing-masing. Perkara paling penting, kita dan dia
dapat melalui semua ini dengan melakukannya bersama-sama. Kita dan dia
juga dapat melakukan semuanya tanpa memerlukan orang lain dan kita
senang melakukannya bersama. Ini penting kerana ia mempengaruhi
kehidupan kita pada masa hadapan. Jika tiada kerjasama, sukar bagi kita
hidup bersamanya. Ini kerana, kita yang memikul beban tanggungjawab
seratus peratus. Bukankah ini menyusahkan?
7. Memahami Diri Kita
Bagi pasangan yang berjodoh, dia mestilah
memahami diri pasangannya. Semasa kita sakit dia bawa ke klinik. Semasa
kita berduka, dia menjadi penghibur. Apabila kita mengalami kesusahan,
dia menjadi pembantu. Di kala kita sedang berleter, dia menjadi
pendengar. Dia selalu bersama kita dalam sebarang situasi. Tidak kira
kita sedang gembira ataupun berduka, dia sentiasa ada untuk kita. Dia
juga bersedia mengalami pasang surut dalam percintaan. Kata orang,
“lidah sendiri lagikan tergigit”, inikan pula suami isteri’. Pepatah ini
juga sesuai bagi pasangan kekasih. Apabila dia sentiasa bersama kita
melalui hidup ini di kala suka dan duka, di saat senang dan susah,
dialah calon yang sesuai menjadi pasangan hidup kita.
8. Tampilkan Kelemahan
Tiada siapa yang sempurna di dunia ini.
Tipulah jika ada orang yang mengaku dia insan yang sempurna daripada
segala sudut. Pasti di kalangan kita memiliki kelemahan dan keburukan
tertentu. Bagi dia yang bersedia menjadi teman hidup kita, dia tidak
terlalu menyimpan rahsia kelemahannya dan bersedia memberitahu kita.
Sudah tentu bukan senang untuk memberitahu dan mengakui kelemahan di
hadapan kekasihnya. Malah, dia tidak segan mempamerkan keburukannya
kepada kita. Misalnya, apabila dia bangun tidur ataupun sakit dan tidak
mandi dua hari, dia tidak menghalang kita daripada melawatnya.Apabila
kita dan dia saling menerima kelemahan dan sifat buruk masing-masing,
memang ditakdirkan kita hidup bersamanya.
9. Kata Hati
Dengarlah kata hati. Kadangkala, manusia
dikurniakan Allah deria keenam yang dapat mengetahui dan memahami
perasaan pasangannya. Dengan deria batin ini juga kita dapat saling tahu
perasaan masing-masing. Kita dan dia juga dapat membaca fikiran antara
satu sama lain dan dapat menduga reaksi dan tindakbalas pada situasi
tertentu. Apabila kita yakin dengan pilihan hidup kita, tanyalah sekali
lagi. Adakah dia ditakdirkan untuk kita? Dengarlah kata hati dan buatlah
pilihan. Serahlah segalanya pada ketentuan yang maha berkuasa.
10. Solat Istikharah dan Tawakkal
Jodoh dan pertemuan semuanya di tangan
Allah SWT. Manusia hanya perancang di pentas dunia ini dan skripnya
ditulis oleh yang maha esa. Adakalanya, dalam memainkan peranan sebagai
pelakon, diberi petunjuk melalui mimpi atau gerak hati. Mimpi memang
mainan tidur, tetapi apabila kita melakukan sembahyang Istikharah dan
memohon supaya Allah memberikan petunjuk, insya-Allah dengan izinnya
kita mendapat petunjukNya.
Jika dia pilihan kita, buatlah keputusan
sebaiknya. Jika tidak, tolaklah dia dengan baik. Semua yang kita lakukan
ini adalah bagi mendapatkan kebahagiaan hidup di dunia. Setelah
semuanya diusahakan, berserahlah kepadaNya dan terus berdoa. Ingatlah,
nikmat di dunia ini hanya sementara.Nikmat di akhirat adalah kekal
selamanya.
No comments:
Post a Comment